Penama Bawah Umur 18 Tahun Tidak Layak Tuntut Simpanan KWSP?

PENJELASAN :

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperjelaskan dakwaan bahawa mana-mana penama bagi pencarum yang berumur di bawah 18 tahun adalah tidak layak menuntut simpanan KWSP pencarumnya, walaupun ia adalah waris sendiri dan simpanan tersebut akan terus diserahkan kepada Amanah Raya Berhad secara automatik, sepertimana yang tular di media sosial.

Gambar Hiasan. Sumber: The Reporter.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, isu pembahagian simpanan ahli yang meninggal dunia yang melibatkan penama atau waris di bawah umur 18 tahun terus kepada Amanah Raya Berhad secara automatik adalah tidak benar.

Hak anak ahli ke atas Simpanan KWSP ahli yang beragama Islam adalah terpelihara apabila berlaku kematian ahli, samada dinamakan sebagai penama atau sebaliknya. Apabila berlaku kematian Ahli Beragama Islam, penama hanyalah sebagai Wasi atau Pentadbir, iaitu bertanggungjawab mengagihkan simpanan ahli tersebut yang berstatus harta pusaka, mengikut Faraid.

Mengikut undang-undang, penamaan tidak akan berkuatkuasa sekiranya pada ketika kematian ahli, penama masih belum mencapai umur 18 tahun kerana mereka tidak layak bertindak sebagai Wasi. Namun, ini tidak bermakna anak ahli di bawah umur 18 tahun yang didaftarkan sebagai penama, tidak akan mendapat haknya ke atas simpanan ahli.

Bagi Ahli Bukan Beragama Islam, penama adalah benefisiari/ penerima mutlak tidak kira umur. KWSP juga ingin menegaskan isu pembahagian simpanan ahli yang meninggal dunia yang melibatkan penama/ waris di bawah umur 18 tahun kepada Amanah Raya Berhad secara automatik adalah juga tidak benar.

SUMBER :

Kumpulan Simpanan Wang Pekerja

Berita Harian


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI